KAMI, SEMUA JAWATANKUASA MTD MENGALU-NGALUKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK TABUNG PILIHANRAYA KE 13

TABUNG PEMBINAAN MARKAZ

Pengarah dan seluruh jawatankuasa mengalu-alukan sumbangan tuan/puan untuk tabung pembinaan markaz yang 75% siap itu. Sumbangan anda bolehlah secara tunai atau melalui akaun Bank Islam MalaysiaBerhad bernombor 02-011-010085539. Segala pemberian dan sumbangan tuan/puan itu mudah-mudahan tuhan sajalah dapat membalasnya. Nombor telefon/faks yang boleh dihubungi ialah: Pejabat DUN 04-7718027, Pengarah 0195445355 atau Bendahari 0124633754.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg87XKikw39a3vJCvpdUibyX82iG1VlyvT2zjJPDJzXR6SuDPpZFLRriOKkjgYjQQA4w_abrhw3REDwa6cVYms0ZsyfspYyMsFroKxSZibPXpJV-LtA-6eGf30u73kGC11O39enUULmu-k/s760/header+poster+60thn-280911A+copy.jpg
Memaparkan catatan dengan label Berita Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Kedah. Papar semua catatan

25 Ogos 2009

Speaker DUN Kedah enggan timbang keputusan

ALOR SETAR 24 Ogos - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tidak akan menimbangkan semula keputusan mahu wakil rakyat Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif digugurkan kerana gagal menghadiri persidangan DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

Tegasnya, beliau tetap dengan pendiriannya itu kerana tiada ruang untuk membuat pertimbangan mengikut peruntukan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sekalipun berasaskan budi bicara.

"Nak timbang macam mana kerana peruntukan itu begitu tegas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan agar menimbangkan semula keputusannya yang mahu Abu Hasan mengosongkan kerusinya berdasarkan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom semalam dilaporkan berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas seharusnya menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri itu daripada memenuhi kepentingan diri semata-mata.

"UMNO tidak menafikan kesalahan Abu Hasan tetapi perkara itu boleh diselesaikan tanpa melalui pilihan raya kecil," katanya.

Abdul Isa berkata, dalam soal ini, ADUN Kota Siputeh itu tidak seharusnya meminta maaf kepada beliau berhubung kegagalan menghadiri sidang DUN kerana mendakwa kesalahan itu dilakukan Abu Hasan kepada pengundi di kawasannya.

Katanya, Abu Hasan perlu bertanggungjawab mengenai tindakannya itu kepada rakyat di DUN berkenaan dan sewajarnya meminta maaf kepada mereka.

"Saya tiada kuasa untuk memaafkan ADUN Kota Siputeh daripada sudut itu kerana kesalahan itu pada rakyat.

"Saya hanya melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Isa, beliau sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Isu Abu Hasan menjadi kontroversi selepas Abdul Isa menulis surat kepada SPR memaklumkan kerusi Kota Siputeh kosong kerana Abu Hasan dua kali berturut-turut tidak hadir persidangan DUN tanpa kebenaran Speaker pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, mana-mana anggota DUN yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker maka kerusi itu hendaklah dikosongkan.

Abdul Isa sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hasan bahawa beliau sakit dan turut menolak permohonan maafnya.

09 Ogos 2009

Phahrolrazi nafi Kuota 50% dasar perkauman


Phahrolrazi Mohd Zawawi, Exco kerajaan negeri Kedah yang dituding jari kerana mencetus kemelut, menafikan bahawa dasar penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera berunsur perkauman. Malah, penambahan kuota ini bertujuan untuk memperbetulkan kegagalan Barisan Nasional menyusun semula masyarakat, menurutnya.

MerdekaReview sebelum ini melaporkan pertikaian dasar perumahan yang digubal Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah, malah memetik beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap Phahrolrazi. Beliau telah memberi penjelasannya dalam temuramah bersama MerdekaReview pada 2 Ogos 2009, di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

Tidak lihat dari sudut kaum

Jelas, tanggapan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) ada perbezaannya ketika dibincangkan.. PR berpendirian bahawa DEB perlu dibubuh noktah, tetapi Phahrolrazi melihat dari sudut matlamatnya untuk menyusun semula masyarakat. Masalah timbul apabila BN gagal mencapai matlamat tersebut, dan kini kerajaan PR yang baru berkuasa terpaksa membuat pembetulan segera, jelasnya.

Beliau berkata, "sekarang kita tak mahu lihat dari sudut kaum lagi. Tetapi kita nak lihat dari sudut apa matlamat sekarang negara kita. Sebab tu kita tak mengambil benchmark yang dibuat Barisan Nasional. Sebab kerajaan Pakatan Rakyat didokong oleh semua kaum...menyebabkan kita boleh memerintah , terutama di Kedah pun."

Justeru itu, Phahrolrazi (gambar kanan) menafikan bahawa kuota 50% tersebut berunsur perkauman.

"Jadi, tidak berlaku dasar perkauman. Dasar sekarang ini adalah dasar untuk... supaya masyarakat pelbagai kaum ini dapat hidup bersama. Ini dasar kerajaan. Mungkin ini kadang-kala sedikit menyusahkan pemaju yang sebelum ini agak bebas menjual kepada sesiapapun. Jadi, kita nak matlamat jangka panjang," jelasnya.

Wartawan MerdekaReview menyusul dengan soalan, "Dari segi realiti, prinsip-prinsip NEP menumpu kepada peningkatan prestasi ekonomi kaum bumiputera. Itu sendirinya satu prinsip perkauman sebab ia hanya tumpu kepada satu kaum dan bukan semua lapisan kaum yang miskin."

"Dalam soal kemiskinan, kerajaan negeri Kedah tidak melihat dari sudut kaum. Kita ada beri bantuan perumahan kos rendah. Kita lihat kelayakan dari segi bantuan. Cuma dari segi kaum, apabila ia termaktub dalam Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara ...sudah disebut perkara itu dan itu diterima oleh PR. Kita tak nak mengubah itu seperti tanah rizab Melayu," jawabnya, sambil menjelaskan pendirian PR Kedah yang dikatakan terpesong dari PR pusat dalam isu DEB.

"Kita tak boleh lihat dari segi kaum kerana itu sudah dipersetujui apabila kita mencapai kemerdekaan," jelas Phahrolrazi sambil menambah, "pada satu masa apabila kita capai satu keseimbangan, mungkin perkara itu pimpinan yang akan datang boleh mengubah."

Pertikaian dasar kuota perumahan

Dasar penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera telah mengundang pertikaian dari pihak pemaju. Menurut Pengerusi REHDA cawangan Kedah-Perlis, Ricque Liew, kebanyakan tanah di Alor Setar adalah tanah rizab Melayu. Kerajaan negeri sebelumnya (BN) membenarkan pemaju untuk "swapping" (menukar) tanah rizab Melayu dengan tanah hak milik bebas di luar bandar.

Lantaran itu, tanah rizab Melayu di pusat mahupun sekitar Alor Setar ditukar menjadi tanah hak milik bebas, tertakluk kepada syarat 30% perumahan dirizabkan untuk bumiputera. Namun, setelah PR mengambil alih kuasa, kuota 30% ini dipertingkatkan kepada 50%.

Justeru itu, apabila Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mendakwa bahawa kerajaannya cuma menetapkan 50% kepada tanah yang asalnya tanah rizab Melayu untuk bumiputera, dan bukannya mempertingkatkan kuota tanah hak milik bebas kepada 50% untuk bumiputera, pemaju tidak menerima penjelasan sedemikian.

Seorang pemaju yang enggan mendedahkan namanya memberitahu MerdekaReview, tanah rizab Melayu ini telah ditukar menjadi "bukan tanah rizab Melayu" di bawah mekanisme "swapping", ia bukan lagi tanah rizab Melayu."

"Tanah bukan rizab Melayu yang 5% lebih luas ditukar dengan tanah rizab Melayu. Dengan kata lain, tanah rizab Melayu dalam negeri hanya bertambah dan tidak akan berkurang," jelasnya.

Apabila masalah bertambah rumit, pemaju meminta agar kerajaan negeri menetapkan satu "Mekanisme Pelepasan" (Release Mechanism), supaya kuota bumiputera boleh dibuka untuk bukan bumiputera dengan syarat tertentu..

Tiada wakil dalam jawatankuasa

MB Kedah pernah berjanji dengan pemaju untuk menubuhkan satu jawatankuasa berhubung "release mechanism". Namun, ketika isu ini diungkit, Phahrolrazi membalas dengan soalan, "REHDA macam mana boleh masuk government punya mechanism? Dia outsider. Semua yang menjadi committee kerajaan hanya jentera kerajaan. Kita tak ambil NGO masuk buat keputusan dalam kerajaan."

Phahrolrazi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menggariskan panduan untuk "land swapping" dan "release mechanism", supaya pemaju tidak menukar tanah sewenang-wenangnya seperti apa yang berlaku ketika pemerintahan BN. Malah, kerajaan juga akan mengelakkan keadaan di mana pemaju sengaja membina perumahan yang harganya tidak mampu ditanggung bumiputera, mengakibatkan penduduk bumiputera di bandar tidak bertambah, kerana bertanggapan kuota akan dibuka pada akhirnya.

Keputusan barisan Exco

Apabila ditanya siapa yang mengemukakan cadangan kuota tersebut, Phahrolrazi berkata dasar ini diputuskan bersama oleh barisan Exco kerajaan negeri, setelah kajian mendapati orang Melayu agak kurang di kawasan bandaraya dan taman perumahan.

Wartawan menyusul dengan pertanyaan mengapa Exco yang lain tidak mengetahui perkara ini pada mulanya, Phahrolrazi berkata dasar ini dibawa-bincang dalam mesyuarat Exco sebelum diumumkan, dan tidak menolak kemungkinan bahawa ada Exco yang tidak perasan akan kewujudan dokumen ini kerana bukan di bawah portfolio mereka.

Phahrolrazi kini memegang portfolio Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga. Beliau menambah, sesetengah ahli Exco menganggap kuota 50% untuk bumiputera adalah isu yang terlalu kecil, kerana tanah dibahagikan kepada lebih sepuluh kategori, dan "swapping land" tanah rizab Melayu hanya salah satu daripadanya.

"Pemohonan 'swapping land' hanyalah 15% daripada kesemua pemohonan projek. Pemaju yang terlibat hanyalah minoriti, lebih ramai lagi pemaju yang tidak mengadu, kerana dasar lama diamalkan. Tetapi hanya kerana aduan empat atau lima orang, keadaan menjadi bising."

Ketika ditanya sama ada Exco PKR mengemukakan bantahan dalam mesyuarat, Phahrolrazi menjawab dengan segera, "Tiada bantahan!"

Walau bagaimanapun, Phahrolrazi mendakwa dasar penetapan kuota 50% untuk bumiputera ini hanyalah dasar sementara. Kerajaan sedia mengkajinya apabila bumiputera di bandaraya bertambah dan pemaju memikul tanggungjawab sosialnya.

Beliau mengambil contoh, bahawa kebebasan hanya direaslisaikan setelah Amerika Syarikat melalui sejarah selama 150 tahun selepas merdeka. Beliau menganggap bahawa masyarakat Malaysia perlu bersabar kerana masih dalam peringkat mendewasa. Dasar ini akan dikaji malah ditamatkan apabila masyarakat sampai ke satu peringkat di mana keupayaan ekonomi antara kaum lebih seimbang.

Bacalah Talqin Wahai Jamil Khir

Confirm Mejer Jeneral (B) Jamil Khir Umno. Kawan lama saya sewaktu di Maktab Mahmud Alor Setar. Kemudian beliau belajar di Akademik Islam Universiti Malaya. Dia senior saya 2 tahun. Bapa dan adik beliau Pas totok. Ayah pernah menjadi AJK Pas Kawasan Jerai. Adiknya pula pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Kawasan.

Saya pernah diberitahu oleh Kapten (B) Ustaz Jamsari (Pengarah Unit Amal Pusat), bahawa Jamil Khir ini kaki mengampu dalam KAGAT. Kami yang berfikrah Pas dalam Kagat, cukup menyampah dengan beliau dan mereka beritahu kepada saya memang dia Umno.

Masalahnya biasalah ustaz Umno ini dia jumpa dengan kita tidak mengaku dia sokong Umno. Jamil Khir pernah beritahu kepada saya, orang kampung duduk kata dia akan bertanding atas tiket Umno, orang Umno kata akan bertanding atas tiket Pas. Saya pun kata dekat dia, inilah anta tidak jelas dalam penderian politik. Dan saya beritahu kepada dia jangan cemarkan keluarga anta yang terkenal sebagai orang kuat Pas.
Mungkin PM baru letak beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri untuk lawan kekuatan Pas di Kedah. Beliau berada di kawasan Dato’ Seri Azizan Razak, MB Kedah kubu kuat Pas di Kedah. PRU 13 beliau akan lawan di Parlimen Jerai atau lawan Ustaz Azizan Razak di DUN Sungai Limau.

Tidak tahulah saya apa yang Jamil Khir hendak cari. Tidak cukup lagikah gaji dalam Kagat. Kaya macam mana pun mana boleh makan ikan siakap sekali makan tujuh ekor.

Patut beliau kena fikir semua orang agama dalam Umno macam daun kari sahaja. Waktu hendak bagi gulai bau sedap maka daun kari digunakan. Waktu hendak makan, daun kari ditolak ketepi. Macam itulah nasib ustaz dalam Umno dan saya yakin itulah juga akan menimpa beliau sikit hari lagi. Umno guna waktu dia menjadi seleberiti di kaca TV sahaja. Selepas tidak laku lagi balik kampung bawa mesin padi dekat Yan.

Beliau menyertai cabinet masuk waktu kapal Umno sudah hendak karam yang dipimpin Datuk Seri Najib dan mentolnya Tun Dr Mahathir yang merosakkan seluruh sistem negara selama 22 tahun. Terima jawatan waktu PM yang sampai hari ini tidak berani hendak saman akhbar Perancis yang menuduh beliau dalam kes Antatuya.

Mana pergi tokoh agama dalam Umno di persada politik tanah air. Tokoh-tokoh seperti Dr Hamid Osman, Dr Yusuf Nor, Dr Abdullah Mohd Zin, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Datuk Awang Jabar, Datuk Ikhwan Nasir, Datuk Firdaus Ismail al-Hafiz, Nakhaei Haji Ahmad, Mustafa Taib, Datuk Dasuki, Mohd Nor Idris, Wan Mokhtar, ustazah Sharifah Dora. Tidak ada seorang pun tokoh agama yang dipilih dalam MKT Umno. Semua mereka ini sudah menjadi “kupang tembaga”. Jelas memang orang agama dalam Umno, hanya “boneka Umno” dan “kuda tunggangan Umno”

Eloklah wahai Jamil Khir anta tolong baca talqin bersama dengan Tun Dr Mahathir yang mengiringi Datuk Seri Najib di kubur Umno tidak berapa lama lagi.

Ustaz Azizan dan warna-warni politik Kedah

Pergolakan politik di Kedah baru-baru ini memang menarik perhatian ramai. Sebagai salah sebuah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Mac 2008, apa jua perkembangan di Kedah dilihat berupaya mempengaruhi kecenderungan pengundi di peringkat nasional, seterusnya boleh membayangkan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Hasrat untuk melihat Pakatan retak dan berpecah tidak kesampaian. Pemimpin Umno-BN terpasa menggigit jari kempunan. Isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar, mungkin bagai tiupan angin kencang yang hanya meneguhkan lagi akar mengikat bumi.

Pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati antara pimpinan PAS, KeADILan dan DAP diharap dapat merumuskan gerak langkah yang lebih mantap, di samping mengenal pasti wilayah sensitif yang adakalanya mudah dilupakan.

Negeri yang pernah melahirkan dua perdana menteri dan seorang presiden PAS - yang dikagumi kawan dan lawan itu - disifatkan agak terlewat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sebelumnya dikenali sebagai Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah dan PAS secara solo.

Pemerhati politik menyifatkan sejak kebangkitan PAS dalam pilihan raya umum 1969, yang menyaksikan antara lain calon Perikatan, Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abdul Rahman tewas mengejut, majoriti pengundi Melayu dianggap sentiasa lebih memihak parti Islam itu. Penyelamat BN hanyalah pengundi bukan Melayu.
Keadaan berubah dalam pilihan raya umum ke-12. Kemenangan awal calon PAS mula dikesan di kawasan yang jumlah pengundi bukan Melayunya agak signifikan. Ada kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PAS pada 1999 tetapi kali ini tewas. Akhirnya PAS membentuk kerajaan bersama KeADILan dan kemudiannya DAP turut dilibatkan, walaupun tidak mendapat peruntukan kerusi Exco.

Hal sama berlaku di Pulau Pinang apabila DAP menerajui kerajaan dengan majoriti lebih selesa dan Adun tunggal PAS juga tidak diberi jawatan Exco. Bagaimanapun keadaan itu tidaklah sampai menggugat persefahaman dalam Pakatan.

Keunikan politik Kedah

Kebijaksanaan PAS mengemudi kerajaan negeri teruji di Kedah, sebuah negeri yang berbeza dari segi komposisi penduduknya berbanding Kelantan dan juga Terengganu.

Justeru, MenteriBesar Ustaz Azizan Abdul Razak, seperti pernah diakui oleh Dr Mahathir sendiri, begitu cermat dan berhati-hati untuk melakukan perubahan, dan bagi bekas PM itu, ia menyukarkan peluang BN untuk menawan semula Kedah.

Mungkin sesetengah kalangan agak tidak sabar untuk melihat pembaharuan, atau sekurang-kurangnya suatu kelainan ketara berbanding pemerintahan BN. Namun, Ustaz Azizan pastinya sudah merencana pendekatan terbaik agar kepentingan rakyat tidak terjejas, kestabilan politik terus utuh dan kemenangan dapat dipertahan. Apatah lagi ada pihak meramalkan, selepas 'rampasan kuasa' di Perak, ia mungkin berjangkit ke negeri Kedah.

Bukan sedikit usaha dan gerak diatur bagi memburukkan kerajaan Kedah. Isu babi dan hubungan PAS-DAP hanya senarai hujung daripadanya. Mungkin melalui media, ia seperti bergegar tetapi di peringkat akar umbi rakyat tidak mudah dipengaruhi tuduhan sensasi.

Malah, difahamkan pengarang akhbar-akhbar milik Umno-BN di Kuala Lumpur hadapi kesukaran untuk 'memaksa' wakil mereka di Alor Setar untuk memanipulasi berita Kedah, khususnya yang membabitkan menteri besar. Ini disebabkan wartawan-wartawan negeri 'malu alah' dengan Ustaz Azizan sendiri.

Bagi PAS, Kedah adalah pengalaman terbaik untuknya menunjuk teladan merintis kejayaan di negeri-negeri yang lain. Petugas PAS Kedah misalnya dikenali sebagai pekerja terbaik dalam hal-ehwal pilihan raya. Komitmen mereka juga sudah teruji dalam beberapa insiden tragis yang menelan korban nyawa. Semoga kemenangan tidak merencatkan istiqamah mereka.

Dan, jika sokongan pengundi bukan Melayu dapat dipertahan terutama melalui urustadbir kerajaan yang antirasuah dan mesra rakyat, serta kepemimpinan Ustaz Azizan dapat menambat hati lebih ramai masyarakat Islam, maka impian BN untuk merebut kembali Kedah, seperti dibayangkan Dr Mahathir, tentu bertambah sukar dan kelam.

Jika institusi menteri besar dalam BN sarat dengan daki rasuah (ya, dengan mudah kita dapat menamakan daripada Rahim Tamby Chik, Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Isa Samad, Khir Toyo, Khalil Yaakob dan banyak lagi) tetapi dalam PAS, seperti ditunjukkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abdul Hadi Awang dan kini Ustaz Azizan (juga tidak lupa Ir Mohamad Nizar Jamaluddin), ia tetap tidak tercemar

24 Disember 2008

Sasar 10 tan metrik padi luar MADA

ALOR STAR, 16 November: Kerajaan Negeri telah pun menetapkan sasaran pencapaian di dalam Halatuju Pembangunan Pertanian Negeri Kedah menjelang tahun 2015 iaitu sasaran tanaman padi luar Lembaga KemajuanPertanian Muda (MADA) sebanyak 10 tan metrik, keluasan tanaman nanasdan jagung akan mencapai keluasan 10,000 ekar serta pengeluaran susu untuk produk tenusu sebanyak 2.4 juta liter.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Pertanian, Industri Asas Tani, Bekalan Air, Sumber Air danTenaga, YB. Dato' Haji Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, sasaran pengeluaran tersebut perlu dicapai bagi memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi, selain memastikan makanan yang kita makan itu berkualiti dan selamat dimakan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sebolehnya ingin mengurangkan pengimportan makanan daripada Negara luar kerana beberapa peristiwa berkaitan dengan makanan telah pun berlaku baru-baru ini, contohnya seperti isu melamin di dalam makanan dari Negeri China dan juga isu makanan yang diproses diragui dari segi keselamatan dan dari segi pematuhan piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebagai pemain utama di dalam sektor pertanian, kita ingin melihat golongan petani, penternak dan nelayan di negeri ini menjadi pengusaha yang berilmu sebagaimana di dalam Halatuju Pembangunan Pertanian Negeri Kedah yang menjadikan negara Belanda sebagai model kita,"jelasnya.


Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah 2008 di Dewan Sri Mentaloon, di sini yang dirasmikan oleh Menteri Besar, YAB. Dato' Seri Ustaz Azizan AbdulRazak.

Ujarnya, negara Belanda bukanlah sebuah negara yang besar tetapi ia menjadi sebuah negara yang maju di dalam bidang pertanian kerana masyarakat yang terlibat di dalam industri tersebut mempunyai ilmu pengetahuan.

"Tujuan utama konvensyen ini diadakan adalah untuk menerangkan mengenai perancangan pembangunan industri pertanian di negeri Kedah bagi tempoh Rancangan Malaysia kesembilan dan Rancangan Malaysia ke-10 iaitu dari tahun 2008 hingga 2015," katanya.

Dalam majlis itu, YAB. Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut menyampaikan anugerah kepada petani, penternak dan nelayan yang menunjukkan pencapaian terbaik.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YangBerbahagia Dato' Haji Bashiruddin Haji Mohd. Jamil yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

TINGKATKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT -Titah KDYMM Tuanku Sultan Kedah

ALOR STAR, 18 November: Pembentangan bajet hari ini agak menarik kerana merupakan kali pertama bagi kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh YAB Dato' Seri Azizan Abd Razak. Walaupun perbelanjaan Kerajaan Negeri meningkat setiap tahun, pengurangan defisit tahun 2009 pada kadar 3.5 peratus bagi menjana pertumbuhan ekonomi sama sekali tidak mengabaikan keperluan rakyat.

Pengurangan perbelanjaan Bajet 2009 Kerajaan Negeri Kedah mendapat pujian daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dalam titah perasmian Sidang Dewan Negeri Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-12, hari ini.

"Beta berbangga dengan langkah yang diambil oleh kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak 30 peratus dan perbelanjaan mengurus sebanyak 10 peratus selaras dengan konsep perbelanjaan berhemah," titah baginda sambil menyeru supaya semua program pembangunan yang dirancang hendaklah ditumpukan kepada meningkatkan kesejahteraan rakyat

Program yang dilaksanakan mengikut keperluan semasa dengan keyakinan masyarakat peniaga dan pelabur terhadap negeri ini terus menggalakkan. Berikutan itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini negeri Kedah telah menerima kemasukan pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak 2.3 bilion Ringgit Malaysia. Jumlah itu tidak termasuk pelaburan terkini projek penapisan petroleum di Yan berjumlah 7 bilion Amerika Syarikat.

Baginda memuji program-program pembangunan yang dsusun untuk tahun 2009 seimbang antara pembangunan fizikal dan kerohaniah. Untuk itu baginda menyeru supaya bentuk pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi nilai tambah kepada pendapatan rakyat sama ada dalam aktiviti pertanian, pembuatan, perkhidmatan ataupun pelancongan. Selain itu semua aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh jabatan-jabatan kerajaan hendaklah berasaskan kehendak pasaran.

Keperluan telekomunikasi oleh Telekom Malaysia menyediakan jalur lebar juga mendapat kepujian daripada baginda. Seluruh negeri mendapat kemudahan ini dengan kapasiti 80,665 pelanggan dan 46,089 telah diulanggani terutama di Sungai Petani dan Kulim yang telah dilengkapi jalur lebar berkelajuan tinggi..

Dalam titah ucapan itu baginda juga melahirkan kebimbangan terhadap kes juvana yang meningkat. Ini berikutan laporan Polis Draja Malaysia yang merekodkan 862 kes berbanding 432 bagi tahun 2006. Untuk itu baginda berharap kerajaan dan anggota masyarakat berpadu tenaga membendung isu ini.

Permintaan makanan tinggi

ALOR STAR: Pengajaran yang ditimba daripada pengalaman lalu membawa kepada pendekatan kini Kerajaan Negeri dalam merancakkan lagi perkembangan sektor pertanian di negeri ini.

Oleh itu, Kerajaan Negeri pada masa ini memberi fokus kepada pasaran dalam memastikan sektor pertanian menjadi penyumbang terpenting pertumbuhan ekonomi negeri dan peningkatan pendapatan rakyat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Pertanian, Industri Asas Tani, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga Negeri, YB Dato' Haji Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi pada Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini 16 November lalu.

"Bekalan yang kita ada belum mencukupi untuk memasuki pasaran. Kerana untuk ke pasaran antarabangsa kita memerlukan bekalan dalam kuantiti yang banyak. Oleh itu perubahan polisi dilaksanakan iaitu dengan menegaskan bahawa pertanian adalah perniagaan.

"Untuk merealisasikan perkara itu, tindakan kerajaan bermula dengan memberi fokus kepada pasaran. Setiap hasil pertanian akan dikenalpasti terlebih dahulu pasarannya," ujarnya pada ucaptama itu.

Kerajaan Negeri katanya, memberi tumpuan kepada hasil pertanian berkaitan makanan yang menjadi hala tuju pertanian negeri Kedah kini.

"Apabila kita menjadikan pasaran ini sebagai formula kepada penentuan jenis hasil pertanian, maka kita membahagikan negeri Kedah ini kepada tiga zon tanaman. Iaitu pertama, yang sedia ada iaitu padi.

"Padi ini akan kekal menjadi sasaran kita. Seperti kita sedia maklum, sebelum ini terjadi masalah sedangkan padi ini makanan asasi kita di dalam dunia, bukan dalam negeri kita sahaja," maklum beliau.

Bagi Zon Kedah Utara katanya, jagung dipilih bagi diusahakan secara kerjasama dengan Sime Darby. Menurutnya, Kerajaan Negeri akan mengadakan kempen menanam jagung dan memastikan pasarannya sentiasa terjamin. Manakala bagi Zon Kedah Selatan, tanaman nanas akan diberi tumpuan.

Jelas Dato' Ir Phahrolrazi, melalui mekanisma itu, Kerajaan Negeri akan berupaya membina kilang dan mengeksport hasil tersebut sekaligus hasil dari petani dan peladang akan terjamin.

"Kita tidak mahu jadi seperti yang lepas, kita belajar dari pengalaman. Bila kerajaan dahulu menggalakkan tanaman limau bali di Kubang Pasu, maka kita lihat berlaku lambakan. Kita nak pasar tidak boleh, mungkin kerana ia tidak cukup banyak atau permintaannya itu tidak begitu banyak. Dari pengalaman juga, kita melihat di Daerah Baling dan Sik pula digalakkan tanaman pokok dokong," ujar beliau yang kemudian mengulas mengenai kegagalan tanaman dokong untuk kekal bersaing dalam pasaran.

Melanjutkan ucaptama, beliau berkata, kegagalan pasaran juga melanda hasil-hasil pertanian lain disebabkan kuantiti kecil penghasilannya. Sedangkan Kerajaan Negeri ujarnya, mensasarkan hasil pertanian dari negeri ini juga untuk pasaran antarabangsa.

Maklumnya juga, Kerajaan Negeri telah menubuhkan beberapa anak syarikat di bawah Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) untuk meningkatkan usaha ke arah perkembangan sektor pertanian di negeri ini.

"Seperkara lagi ialah mengenai tanah yang sangat terhad di negeri kita ini. Banyak tanah kerajaan yang diserahkan kepada pihak swasta untuk dijadikan ladang tetapi tidak diusahakan. Maka dasar baru tanah pertanian ini hanya akan diserahkan kepada pelabur melalui usahasama projek dengan GLC," maklum beliau mengakhiri isi ucaptamanya itu.