Selasa, 05 Julai 2011 12:14 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM
ALOR SETAR, 5 Julai - Dakwaan penduduk Kampung Tengku Laksamana, Kuala Kedah yang menyatakan kerajaan sekarang tidak tunaikan janji untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada mereka adalah tidak benar.
Keputusan untuk tidak membenarkan bekalan elektrik disalurkan ke kampung itu adalah keputusan kerajaan dahulu yang bertujuan membendung penerokaan haram kawasan tanah rizab laut.
Ini berikutan terdapat orang ramai yang membina rumah tanpa kebenaran di atas tanah rizab sungai dan laut. Namun begitu pada peringkat awal sebelum keputusan itu dibuat beberapa penduduk telah berjaya mendapat bekalan elektrik dan air.
Ini diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi bagi menangkis dakwaan penduduk di situ yang mendakwa beliau tidak tunaikan janji semasa pilihanraya umum ke 12, yang tersiar di dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.
“Saya tidak pernah berjanji untuk memberi mereka bekalan elektrik seperti yang didakwa kerana ini adalah urusan TNB,” katanya ketika diminta mengulas laporan itu.
Walau bagaimanapun beliau melahirkan rasa simpati terhadap masalah penduduk di situ dan akan berusaha mengatasi masalah bekalan elektrik yang dihadapi oleh penduduk berkenaan.
“Saya akan cuba atasi masalah ini. Oleh kerana keputusan tidak membenarkan bekalan elektrik diberikan kepada penduduk itu dibuat oleh Exco ketika pemerintahan dahulu jadi Exco hari ini pula kena buat keputusan lain,” katanya.
Menurutnya, kertas kerja mengenai ini akan disediakan oleh pihak Pejabat Tanah Galian (PTG) dan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Exco sama ada membenarkan atau sebaliknya bekalan elektrik disalurkan kepada penduduk di situ.
Dalam menekankan keputusan ini hanya terhad kepada kemudahan elektrik dan air tidak kepada kebenaran menduduki tanah rizab laut.
“Ertinya penduduk di situ telah membina penempatan di atas tanah rizab laut tanpa kebenaran. Ini adalah kesalahan walaupun mereka telah membuat permohonan tidak bermakna mereka boleh meneroka tanah rizab laut sewenang-wenangnya,” katanya.
Katanya, walaupun permohonan mereka tidak mendapat kelulusan status kampung itu telah berkembang sehingga penduduknya kini berjumlah 70 buah keluarga dan ini menunjukkan orang ramai tidak menghiraukan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
“Kita tahu ada penduduk yang memohon bekalan elektrik dengan alasan akan membuka bengkel di situ tetapi kerajaan masih belum memberi keputusan kerana status tanah itu adalah rizab laut,” katanya.
Salah sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan 40 buah rumah Kampung Tengku Laksamana tiada bekalan elektrik.
Terakhir Dikemaskini (Selasa, 05 Julai 2011 13:08)- WD