Hak Asasi Semakin Buruk Bila PM Najib Pegang Jawatan PM... Apa Sudah Jadi???
Ulangtahun pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerajui negara terus dicemari dengan rekod buruknya dalam menangani hak asasi manusia, menurut laporan hak asasi Suaram 2009.
Dilancarkan hari ini, laporan itu memaparkan beberapa pencabulan yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan yang diterajui BN.
Penyelaras dan pemanatau kumpulan itu, John Liu juga mendakwa salah guna kuasa oleh pegawai agensi penguatkuasaan juga semakin menjadi-jadi.
“Salah guna itu bukan sahaja oleh polis tetapi juga agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan terbaru oleh Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya dalam taklimat kepada 30 diplomat, ahli persatuan sivil dan wartawan pada pelancaran laporan itu.
Lapan kematian dalam tahanan pihak berkuasa dicatatkan tahun lalu, dengan tujuh daripadanya ketika berada dalam tahanan polis. Kematian kelapan membabitkan setiausaha politik DAP, Teoh Beng Hock ketika disoal-siasat sebagai saksi oleh SPRM.
Turut membimbangkan adalah jumlah orang ramai yang ditembak mati oleh polis. Pada 2007 terdapat 13 kematian dan jumlah itu bertambah menjadi 82 pada 2008 dan terus meningkat kepada 88 pada tahun lalu.
“Tidak ada seorang pegawai polis yang dipertanggungjawabkan bagi sebarang kematian itu,” katanya.
Liu juga mendakwa kes tidak bertolak ansur dengan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan dasar atau keputusan kerajaan semakin menjadi-jadi. Ramai orang awam ditangkap apabila mengambil bahagian dalam perhimpunan yang diadakan secara aman.
“Hampir 1,000 orang ditangkap oleh polis kerana terlibat dengan pelbagai protes yang diadakan secara aman, termasuk upacara memegang lilin, memakai pakaian hitam dan juga mengambil bahagian dengan bermogok lapar,” katanya.
Ketika krisis kerajaan negeri Perak, 167 orang ditangkap pada Mei lalu, manakala 589 orang termasuk mereka yang di bawah umur ditahan pada ralli anti-ISA Ogos lalu.
Tahanan tanpa perbicaraan masih menjadi satu isu, kata Liu.
“Pada akhir tahun lalu, sembilan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih dikurung tanpa dibawa ke mahkamah , manakala 1,000 lagi orang masih ditahan di bawah Ordinan Darurat dan juga Akta Dadah Bahaya.”