CERITA 1 - Suatu masa dulu, saya pernah dengar cerita mengenai ‘seseorang’ yang berumah di Masjid Rusila Terengganu. Dia sangat rajin beribadat. Berpakaian melebihi ala orang PAS. Ekor serban dan jubahnya labuh dan hebat.
Orang PAS sangat percaya kepadanya, apatah lagi dengan penampilannya yang sebegitu. Banyak kepercayaan diberikan kepadanya sehingga banyak rahsia yang terdedah.
Namun akhirnya orang itu tersilap langkah. Waraknya terbongkar disebabkan kejahilannya. Niatnya yang serong mendedahkan siapa dirinya. Dia solat sunat selepas solat Subuh. Akhirnya orang tahu dia adalah pengintip.
Orang hanya mengenalnya setelah banyak rahsia terdedah, banyak kepercayaan diletakkan kepadanya dan banyak dokumen jatuh ke tangannya.
CERITA 2 - Suatu masa dulu juga, saya pernah dengar cerita mengenai ‘seseorang’ yang menjadi salah seorang staf di Pejabat Perhubungan Negeri Jelapang Padi.
Setiap hari dia hadir ke pejabat, bekerja, mengendalikan dokumen, menghadiri mesyuarat yang berkaitan dengannya bersama staf lain.
Dia kelihatan lebih PAS daripada orang PAS. Setelah banyak yang diketahuinya mengenai PAS negeri berkenaan, dia akhirnya tersilap langkah. Rahsianya terbongkar dan dia disingkir.
Semua itu berlaku setelah banyak rahsia terdedah dan benyak perkara yang tidak patut dia tahu diketahuinya.
CERITA 3 – Suatu masa dulu juga, bukan saya mendengarnya tetapi mengalami sendiri. Seseorang yang menjadi salah seorang exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, bukan di zaman saya menjadi ketuanya, bukan juga di zaman orang sebelum saya menjadi ketua, tetapi zaman sebelum itu.
Orang ini sangat aktif dengan dewan pemuda, sanggup membuat apa sahaja untuk pemuda bahkan sanggup berbelanja sebanyak mana yang diperlukan. Sebut sahaja, dia antara orang awal menyumbang.
Sampai ke satu tahap, namanya tercatit sebagai salah seorang calon dalam pilihanraya.
Namun, rencana Allah mengatasi rencananya. Rencana orang itu terdedah. Akhirnya dia menerima hukuman di atas perbuatannya itu.
Mengapa dengan ketiga-tiga cerita itu?
Membaca tulisan Kickdefella dalam blognya kebelakangan ini, mendedahkan banyak perkara mengenai PAS Kelantan dan kerajaan negeri, saya terasa bahawa Kickdefella agaknya memainkan peranan seperti ketiga-tiga orang di atas.
Dan, tidak mustahil orang seperti itu masih wujud juga dalam PAS masa kini. Awas!