KAMI, SEMUA JAWATANKUASA MTD MENGALU-NGALUKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK TABUNG PILIHANRAYA KE 13

TABUNG PEMBINAAN MARKAZ

Pengarah dan seluruh jawatankuasa mengalu-alukan sumbangan tuan/puan untuk tabung pembinaan markaz yang 75% siap itu. Sumbangan anda bolehlah secara tunai atau melalui akaun Bank Islam MalaysiaBerhad bernombor 02-011-010085539. Segala pemberian dan sumbangan tuan/puan itu mudah-mudahan tuhan sajalah dapat membalasnya. Nombor telefon/faks yang boleh dihubungi ialah: Pejabat DUN 04-7718027, Pengarah 0195445355 atau Bendahari 0124633754.

05 Oktober 2010

Saya tahu siapa terlibat: Azizan


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi amaran akan mendedahkan lebih banyak penyelewengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) jika pemimpin yang mentadbir negeri sebelum ini terus menerus memfitnah atau memutar belit fakta.

Menurutnya, beliau tidak akan berdiam diri jika Kerajaan Negeri yang diterajuinya kini berdepan dengan fitnah daripada mereka termasuk memutar belit fakta sebenar yang didedahkan pihaknya semata-mata mahu menutup kelemahan pentadbiran sebelum ini.

“Baru-baru ini saya dedahkan mengenai hutang penggunaan bekalan air Kerajaan BN mencecah RM1.7 bilion, namun fakta itu diputar belit pemimpin BN kononnya salah. Sebelum itu, saya juga dedahkan tunggakan saman ekor RM390,000 yang ditinggalkan mereka. Mereka berhutang, kita yang terpaksa bayar,” katanya.

Azizan berkata, penafian atau pembohongan mengenai beberapa perkara berbangkit, khususnya perjanjian air yang dilakukan pemimpin BN terdahulu sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung beban hutang yang banyak, sedikit sebanyak menimbulkan kemarahan apabila perkara sebenar cuba diputar belit.

“Jika benar mahukan fakta tepat, saya sedia berikan. RM1.7 bilion hanya hutang terkumpul bekalan air manakala hutang keseluruhan Kerajaan Negeri BN kepada Pusat berjumlah RM2.3 bilion serta RM800 juta pula hutang pelbagai termasuk pembangunan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK),” katanya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam kenyataan disiarkan semalam berkata, kenyataan Azizan sebelum ini bermotif politik kerana hutang peninggalan BN berjumlah RM1.7 bilion tidak tepat memandangkan ia merupakan pinjaman daripada Kerajaan Pusat kepada Kedah melaksanakan projek pembangunan.

Mahdzir juga dipetik sebagai berkata, tindakan Kerajaan Negeri menaikkan tarif air tiada kaitan dengan penstrukturan semula pengambilalihan aset air Kedah oleh Pengurusan Aset Air Berhad (Paab), sebaliknya mendakwa boleh memilih untuk tidak menaikkan tarif.

Azizan mempersoalkan siapa yang sebenarnya memutarbelitkan fakta.

“Saya dapat fakta itu daripada Pegawai Kewangan Negeri beserta laporannya. Hutang air dahulu tinggi sebab tindakan pemimpin BN sebelum ini, yang tidak mahu memilih geran yang ditawarkan Pusat tetapi mahu berhutang. Jika mereka pilih geran, mereka tidak perlu bayar semula,” katanya.

Azizan mendakwa, Kerajaan Negeri sebelum ini menolak geran terbabit kerana tidak mahu terikat pada syarat yang ditetapkan, iaitu Kementerian Kewangan akan melantik kontraktor yang terlibat, sebaliknya jika berhutang, tanggungjawab adalah di bawah Kerajaan Negeri dan boleh memilih sendiri kontraktor.

“Saya tahu siapa yang terlibat dalam pemilihan itu, siapa dapat hak bina loji dan paip termasuk pemimpin BN mana yang ada kepentingan dalam perjanjian air, cuma saya tak mahu dedahkan. Tapi jika mereka kacau lagi, mungkin saya dedahkan. Sebelum ini, mereka swastakan pengurusan air di Kedah manakala kita hanya korporatkan,” katanya.

Menurutnya, dua syarikat terbabit, Taliworks Sdn Bhd dan Air Utara Indah Sdn Bhd diberi kontrak sehingga 2020 oleh kerajaan BN terdahulu untuk merawat air walaupun pada hakikatnya perjanjian itu merugikan Kerajaan Negeri.

“Saya pelik apabila perjanjian itu merugikan dan apabila disiasat, rupa-rupanya milik kroni BN. Untuk 2009, Kerajaan Negeri terpaksa bayar RM39 juta kepada Taliworks sedangkan kutipan hanya RM14 juta, bermakna kita subsidi RM25 juta,” katanya.

Azizan berkata, pihaknya kini sedang berunding dengan Taliworks untuk mengkaji semula perjanjian sedia ada agar kedua-dua pihak mendapat manfaatnya.

“Kita juga rugi apabila 43 peratus air yang dirawat syarikat Air Utara Indah hilang sebab kerosakan paip dan sebagainya, sebab itu kita minta Paab ambil alih hingga masalah selesai. Bayaran perlu dibayar penuh walau berlaku pengurangan bekalan air,” katanya.

Perkara lain yang turut menimbulkan keraguan ialah apabila kos pembinaan loji di Padang Sanai yang mempunyai kapasiti 50 juta liter air sehari mencecah RM155 juta sedangkan anggaran sebenar kos hanya sekitar RM60 juta.

Mengenai kenaikan tarif air berkuat kuasa 1 Oktober lalu, Azizan berkata, pihaknya tiada pilihan kerana tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Air Negara 2006, yang antara lain bersetuju supaya lima negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Melaka mengkorporatkan pengurusan air sebelum diperluaskan ke negeri lain.

“Oleh itu tarif air bukan sahaja naik di Pulau Pinang dan Kedah, semua negeri juga akan naik secara berperingkat,” katanya.