KAMI, SEMUA JAWATANKUASA MTD MENGALU-NGALUKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK TABUNG PILIHANRAYA KE 13

TABUNG PEMBINAAN MARKAZ

Pengarah dan seluruh jawatankuasa mengalu-alukan sumbangan tuan/puan untuk tabung pembinaan markaz yang 75% siap itu. Sumbangan anda bolehlah secara tunai atau melalui akaun Bank Islam MalaysiaBerhad bernombor 02-011-010085539. Segala pemberian dan sumbangan tuan/puan itu mudah-mudahan tuhan sajalah dapat membalasnya. Nombor telefon/faks yang boleh dihubungi ialah: Pejabat DUN 04-7718027, Pengarah 0195445355 atau Bendahari 0124633754.
http://4.bp.blogspot.com/-gRMIyy96NG4/Tol9H55l69I/AAAAAAAAABM/3QIuo10ddq0/s760/header%2Bposter%2B60thn-280911A%2Bcopy.jpg

16 Oktober 2010

Bajet 2011 Belanjawan Terbesar Dalam Sejarah, Gula2 Pilihanraya Umum Bakal Menjelma

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bajet 2011 – bajet keduanya sejak dilantik sebagai perdana menteri, belanjawan terbesar dalam sejarah, yang penganalisis dan pemerhati melihat ia memfokus untuk memikat sokongan pilihan raya umum ke-13.

Bajet 2011 merangkumi peruntukan berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding 2010, memperuntukkan RM162.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Ketua Eksekutif Institut Bagi Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau risau dengan jumlah perbelanjaan yang dijanjikan oleh perdana menteri dalam bajet kali ini.

“Peruntukan bagi 2011 hampir tiga peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010. Dari mana sumber tambahan ini akan datang?

“Kita sudah pun berada dalam tahap defisit. Perkara logik yang perlu dilakukan apabila kita berada dalam situasi defisit ialah mengurangkan perbelanjaan.

“Tetapi nampaknya kerajaan memutuskan untuk berbelanja lebih,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata Wan Saiful, bajet yang diumumkan petang ini nampaknya persediaan untuk menuju pilihan raya umum tergempar yang menjadi sebutan banyak pihak.

“Ada dijanjikan lebih banyak (insentif) dalam bentuk duit kepada JKKK, guru-guru KAFA, dan imam, malah juga penangguhan kenaikan tol dan pelbagai insentif lain untuk memikat pengundi,” katanya.

Di akhir ucapannya, Najib menekankan bahawa apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan ini merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat.

“Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap seorang mampu mencipta kebahagiaan. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang mengehadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras.

“Kesimpulannya, bajet ini telah mengambil kira keperluan semua rakyat Malaysia. Pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini,” katanya.

Kata Najib, wawasannya dan rakan-rakan dalam Kabinet adalah untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh pelusuk dan ceruk negara.

“Wawasan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia bukanlah pula satu impian yang kosong. Fakta dan sejarah telah membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional berupaya melakukannya selama puluhan tahun.

“Kita telah berjaya mentransfomasikan ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

“Kita telah berjaya meningkatkan per kapita daripada 260 dolar Amerika di awal merdeka kepada kira-kira lapan ribu dolar Amerika hari ini.

“Kita telah berjaya mengurangkan kemiskinan dari 60 peratus kepada 3.8 peratus sehingga berada diambang menghapuskan kemiskinan tegar dan berjaya mencipta kelas menengah yang dinamik,” kata Najib merujuk kepada perkembangan lima dekad lalu.

Kata Najib: “Kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan.”

“Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata. Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi.

“Percayalah, bahawa Kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek.

“Yakinlah, bahawa kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang,” kata ucapannya yang mengambil masa sejam dan 40 minit.

“Sesungguhnya bajet kali ini merupakan bajet ke-53 pasca merdeka yang telah dibentangkan oleh Kerajaan dari parti yang sama.

“Melalui 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang dan satu Misi Nasional, Bajet 2011 menjadi bingkisan penting serta langkah pertama dalam menempatkan Malaysia diambang status negara maju berpendapatan tinggi,” kata beliau.

Sejumlah RM45.6 bilion daripada peruntukan mengurus adalah bagi emolumen; RM28.2 bilion (Perkhidmatan dan Bekalan); RM86.4 bilion (Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap); RM1.4 bilion (Pembelian Aset); dan RM1.2 bilion bagi perbelanjaan lain.

Hasil kerajaan persekutuan dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion tahun depan berbanding RM162.1 bilion tahun ini, kata Najib.

Defisit negara pula dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.6 peratus tahun ini, Perdana Menteri mengumumkan semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi peruntukan pembangunan, Najib berkata RM28.3 bilion bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat dan RM4.4 bilion (pembangunan sektor keselamatan), RM955 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

Semasa pembentangan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, negara telah pulih daripada ekonomi dunia berikutan langkah positif kerajaan serta pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Ia terbukti dengan KDNK berkembang pada 9.5 peratus bagi separuh pertama 2010, berbanding negatif lima peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Najib, ekonomi dunia turut dijangka pulih pada 4.8 peratus berbanding negatif 0.6 peratus pada 2009 manakala perdagangan antarabangsa berkembang 11.4 peratus berbanding negatif 11 peratus pada 2009.

Di peringkat domestik, penunjuk utama pertumbuhan ekonomi termasuklah Indeks Bursa Malaysia melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober lepas; peningkatan eksport 22 peratus bagi lapan bulan pertama 2010; pengukuhan nilai ringgit kepada dolar Amerika kepada 3.0833 pada 14 Oktober lalu; dan rizab antarabangsa berjumlah RM310.8 bilion (AS$100.7 bilion) yang mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara.

Najib berkata, dengan perkembangan positif, kerajaan menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi 2010 kepada 7 peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Katanya, prestasi memberangsangkan itu adalah ekoran peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan (6.5 peratus) dan pembinaan (4.9 peratus).

Beliau berkata kadar inflasi diunjurkan pada paras dua hingga tiga peratus manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua pula pembentangan hari ini menunjukkan kerajaan berbelanja besar dan hanya “diselamatkan” oleh hasil kutipan hasil cukai yang tinggi daripada dijangkakan.

Dengan merujuk kepada perbelanjaan pengurusan yang terlalu besar, kata beliau, Najib perlu menjelaskan trend-trend membimbangkan yang tidak ditangani dalam perbahasan bajet yang bermula minggu depan.

“Dalam usaha memastikan perbelanjaan kerajaan digunakan dengan efektif dan boleh menjana impat ekonomi pelbagai tahap kepada negara,” kata wakil rakyat ini.