Pendapatan RM720 ke bawah, daftar segera e-Sinar
Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

Melalui program e-Sinar yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dapat membantu rakyat terutama dari golongan berpendapatan rendah untuk memohon bantuan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi, penyertaan masyarakat dalam e-Sinar amat digalakkan sebagai memenuhi usaha Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat terutama apabila berlaku kematian.
Beliau mahu masyarakat memahami skim ini yang bertujuan untuk membantu mereka yang memiliki pendapatan rendah ketika menghadapi kematian ahli keluarga tetapi mesti berdaftar dengan e-Sinar terlebih dahulu.
Phahrolrazi turut menggalakkan mereka agar berjumpa dengan ketua kampung di kawasan masing-masing untuk mendaftar di bawah e-Sinar, seterusnya melayakkan mereka mendapat bantuan Skim Kafalah ini jika berkelayakkan.
“Saya berharap ketua kampung dapat memainkan peranan dengan lebih efektif menjalankan bancian terhadap penduduk yang layak menerima bantuan ini,” katanya.
Beliau memberitahu, bancian itu perlu bagi memudahkan sebarang bantuan dapat disampaikan kepada yang berhak untuk menerimanya.
“Sehingga kini, terdapat kira-kira 37 keluarga si mati termasuk bangsa Cina yang berdaftar di bawah e-Sinar telah menerima bantuan Skim Kafalah ini,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan yang diberikan itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat dan kesusahan yang ditanggung mereka terutama dalam menguruskan jenazah yang mana terdapat keluarga si mati yang tidak berkemampuan.