KAMI, SEMUA JAWATANKUASA MTD MENGALU-NGALUKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK TABUNG PILIHANRAYA KE 13

TABUNG PEMBINAAN MARKAZ

Pengarah dan seluruh jawatankuasa mengalu-alukan sumbangan tuan/puan untuk tabung pembinaan markaz yang 75% siap itu. Sumbangan anda bolehlah secara tunai atau melalui akaun Bank Islam MalaysiaBerhad bernombor 02-011-010085539. Segala pemberian dan sumbangan tuan/puan itu mudah-mudahan tuhan sajalah dapat membalasnya. Nombor telefon/faks yang boleh dihubungi ialah: Pejabat DUN 04-7718027, Pengarah 0195445355 atau Bendahari 0124633754.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg87XKikw39a3vJCvpdUibyX82iG1VlyvT2zjJPDJzXR6SuDPpZFLRriOKkjgYjQQA4w_abrhw3REDwa6cVYms0ZsyfspYyMsFroKxSZibPXpJV-LtA-6eGf30u73kGC11O39enUULmu-k/s760/header+poster+60thn-280911A+copy.jpg

19 Mac 2010

SAMBUTAN HANGAT: Kem Anak Soleh Anak Nelayan



Oleh: AMELIA HASHIM
KUBANG ROTAN: 17 Mac: Kerajaan Negeri telah berjaya menganjurkan Kem Anak Soleh di enam daerah dalam Kedah melibatkan 1240 pelajar sekolah rendah dan 200 fasilitatior.

Program ini telah menarik perhatian Persatuan Nelayan Negeri Kedah yang meminta diadakan untuk anak-anak nelayan. Memenuhi permohonan itu satu kem khusus diadakan di Muasasah Darul Ulum Pokok Sena untuk anak-anak nelayan, manakala lima kem lagi di Maktab Mahmud Baling, Langkawi, Pendang, Sik dan Bandar Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB Dr Ismail Salleh berkata, pembangunan insan menjadi agenda utama kerajaan untuk melihat perubahan di kalangan remaja Islam.

Menurutnya, keruntuhan akhlak remaja Islam hari ini bermula dari dalam rumah kerana anak-anak tidak mahu dan tidak tahu sembahyang. Menyedari perkara ini sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan satu dasar dan polisi mendidik anak-anak dari peringkat bawah sampai mereka dewasa.

Katanya, program ini di bawah portfolio Pembangunan Insan dilaksanakan bagi memastikan pelajar sekolah rendah bukan sahaja boleh bersembahyang tetapi boleh menjadi imam apabila masuk ke sekolah menengah kelak.

“Program ini diharap berjaya mendidik remaja di bawah tingkatan satu menjadi anak soleh yang tahu sembahyang apabila nak masuk tingkatan satu sekolah menengah. Bukan sahaja pandai sembahyang tapi boleh menjadi imam pada masa sama roh sembahyang ada pada diri dia selama-lamanya,” katanya pada majlis penutupan Kem Anak Soleh di Wisma Nelayan Kuala Kedah.

Sehubungan itu diharapkan kerjasama dan rangsangan daripada ibu bapa supaya ilmu yang dibekalkan di dalam kem ini diteruskan apabila kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Bantulah anak-anak ini mendirikan solat di rumah dan jangan pula apabila adik hendak sembahyang, abang membuka telivisyen dan emak sibuk di dapur tidak menghiraukan anak yang hendak sembahyang,” katanya.

Pelajar berusia sebelas dan dua belas tahun yang menyertai kem ini diasuh menunaikan solat dan disemai nilai-nilai murni seperti kasih sayang dan menghormati ibu bapa serta orang-orang yang lebih dewasa daripada mereka.Ajaran Islam mengatakan sembahyang berupaya menjauhkan diri dari segala bentuk keruntuhan akhlak. Berpandukan itu program ini diadakan bagi membentuk pelajar cemerlang fizikal dan spiritual.

Beliau menyeru semua ibu bapa, supaya membantu anak-anak menjadi anak soleh kerana katanya, kecemerlangan bukan terletak pada pencapaian akademik semata-mata tetapi didikan dalam erti kata jadikan mereka anak-anak yang soleh.

“Kalau kita gagal mendidik anak-anak, kita akan merana di dunia apatah lagi di akhirat, kerana apabila kita meninggal dunia anak-anak kita tidak tahu sembahyang apa lagi untuk mendoakan kita,” katanya.

Anak-anak adalah aset yang sangat besar.kepada keluarga dan negara. Mereka boleh membahagiakan ibu bapa di dunia dan akhirat. Sehubungan itu kalau tersalah didik anak-anak boleh memberi bencana kepada keluarga dan negara.

“Cuba bayangkan sekiranya anak-anak kita terlibat dengan kegiatan rempit, pil ekstasi dan masalah sosial seperti zina,” ujarnya.

Dr Ismail juga mengucapkan tetima kasih kepada semua pihak terutama ibubapa yang memberi kerjasama menjayakan program inin serta komitmen dari Persatuan Nelayan Negeri Kedah.

Seorang ibu yang sempat ditemui, Puan Zabedah Mat Arsyad, 42 tahun dari Taman Bahtera Kuala Kedah berkata, program ini amat baik dan patut diteruskan pada tahun hadapan. Anaknya Nur Afiqah Azlan, 11 tahun menjadi peserta program ini.

Menurutnya, aturcara yang disusun memenuhi program ini sedikit sebanyak berjaya menerapkan sifat disiplin diri kepada semua pelajar termasuklahlah anaknya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengutamakan anak-anak nelayan bagi mengisi program ini.“Kali pertama anak saya dapat mengikuti program ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna. Selain dapat belajar solat dengan sempurna di sini juga para peserta disemai dengan nilai-nilai yang murni seperti kasih sayang kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berharap program serupa ini diadakan untuk pelajar sekolah memengah supaya anaknya yang berada di tingkatan empat dapat ikut sama. “Anak sulung saya sekarang dalam tingkatan empat dan berasa rugi kerana program ini hanya untuk anak-anak sekolah rendah berusia sebelas dan dua belas tahun,” katanya.

Pendapat itu turut dikongsi oleh Mohd Zaidi Haji Ismail dari Kuala Kangkong yang datang menjemput anaknya Nur Alya Atiqah darjah enam Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kangkong.

Katanya, program ini memberi manfaat yang sangat besar kepada ibu bapa yang kadang-kadang terlalai untuk mendidik anak-anak supaya bersolat kerana kesibukan kerja dan mengejar masa.

Seorang pelajar perempuan yang sempat ditemui Hashitah Roslin dari SRK Padang Keria Simpang Empat berkata, seronok berada di kem itu kerana mendapat ramai kawan.

Katanya, dia dan kawan-kawan dalam kumpulan dijaga dengan baik oleh kakak-kakak fasilitator dan diajar menunaikan sembahyang.

Manakala Mohd Aidil Jefri anak ke tiga daripada enam beradik dari Kampung Baru Tepi Laut Kuala Kedah pula berjanji tidak akan meninggalkan sembahyang selepas balik ke pangkuan keluarga. Bapanya bekerja sebagai nelayan dan ibunya seorang suri rumah.

Bagi fasilitator yang sempat ditemubual Siti Suhaina Md Shukri berkata, anak-anak yang terpilih mengikuti kem ini ibarat tunas dan senang dibentuk. Mereka menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar solat dan membaca Quran.

“Tapi dalam masa empat hari tiga malam tentulah tidak semua dapat diajar kalau diberi masa satu bulan insya Allah rasanya mereka boleh membaca Quran dengan lancar,” katanya.

Menjadi fasilitator adalah pengalaman pertama bagi Siti Suhaina pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama An-Nahdzah Pendang. Pengalaman menjadi fasilitator turut menjadi kenangan manis kepada temannya Zaharah Fajarnina pelajar tingkatan enam Maktab Mahmud Alor Setar.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Kubang Rotan YB Nasir Mustafa, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kedah Ahmad Rusdin Husin, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah Hamid Bahari dan Pengerusi Program Ahmad Ridzuan Yahaya dam Ahli Majlis Ketua kampung (MKK).