KAMI, SEMUA JAWATANKUASA MTD MENGALU-NGALUKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK TABUNG PILIHANRAYA KE 13

TABUNG PEMBINAAN MARKAZ

Pengarah dan seluruh jawatankuasa mengalu-alukan sumbangan tuan/puan untuk tabung pembinaan markaz yang 75% siap itu. Sumbangan anda bolehlah secara tunai atau melalui akaun Bank Islam MalaysiaBerhad bernombor 02-011-010085539. Segala pemberian dan sumbangan tuan/puan itu mudah-mudahan tuhan sajalah dapat membalasnya. Nombor telefon/faks yang boleh dihubungi ialah: Pejabat DUN 04-7718027, Pengarah 0195445355 atau Bendahari 0124633754.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg87XKikw39a3vJCvpdUibyX82iG1VlyvT2zjJPDJzXR6SuDPpZFLRriOKkjgYjQQA4w_abrhw3REDwa6cVYms0ZsyfspYyMsFroKxSZibPXpJV-LtA-6eGf30u73kGC11O39enUULmu-k/s760/header+poster+60thn-280911A+copy.jpg

22 Mac 2010

Beza antara Umno, PKR dan PAS


M Faqih
POLITIC is the art of possible kata ahli politik Jerman, Otto Von Bismarck.

Mungkinkah kerana berpegang kepada falsafah itu tiga anggota parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti.

Terakhir anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, 65 mencuba falsafah itu. Sebelumnya Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Manakala anggota parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat sebagai ahli parti. Sekarang jumlah anggota parlimen PKR tinggal 27 orang.

Rakan-rakan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP kekal 28 kerusi dan PAS juga bertahan 23 kerusi. Pada awalnya jumlah anggota parlimen yang menang atas tiket PAS ada 24 kerusi, namun Datuk Ibrahim Ali enggan mengakui hakikat itu.

Jadi PAS terus kekal dengan 23 kerusi biar pun ada pertambahan dengan satu kerusi di Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Politik ikut cuaca juga melanda wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Mereka lebih ramai yang sudah beralih angin.

Segala cerita bermula di Perak pada awal tahun lepas. Dua Adun PKR iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) dilaporkan hilang, tiba-tiba mereka muncul bersama Datuk Seri Najib Razak.

Turut hilang Adun DAP, Hee Yit Fong (Jelapang). Amalan politik mereka menepati ramalan Otto Von Bismarck, segala kemungkinan boleh berlaku. Benarlah dikatakan ia seumpama cuaca.

Jamaluddin, 53, sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan.

Manakala Osman, 58, ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak.

Mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Perbicaraan kes mereka didengar di Mahkamah Sesyen bermula 10 Februari 2009.

Ekoran agenda turn about itu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Maka kedudukan PAS, DAP dan PKR di Dun Perak merosot kepada 27 kerusi iaitu sama dengan jumlah dimenangi Barisan Nasional. Masing-masing ada 27 kerusi.

BN cuma bernasib baik apabila Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan secara lisan kepada Sultan Perak untuk menyokong BN dan tidak lagi Pakatan.

Isu tersebut terheret sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Akhirnya hakim memutuskan Sultan berhak melantik Menteri Besar baru biar pun di luar prosedur persidangan Dun.

Keputusan itu biar pun dipertikaikan banyak pihak, namun mengesahkan Pakatan Rakyat hilang segala kuasa di Perak.

Kemudian sindrom menari ikut cuaca menjangkiti Selangor apabila seorang lagi Adun PKR hilang. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dikatakan hilang selama lima hari.

Kemudian muncul dengan menyatakan pendirian keluar dari parti yang memenangkannya untuk bergelar wakil rakyat.

Adun Pelabuhan Klang itu membuat pengumuman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sejak menang pada Mac 2008 beliau dikatakan menimbulkan masalah kepada parti. Dia didakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sindrom serupa menjangkiti pula Kedah apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh juga membuat keputusan nekad keluar PKR.

Semua wakil rakyat yang keluar parti hanya menyatakan menjadi wakil bebas dan bukan menyertai Umno.

Berlainan dengan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin apabila mengumumkan menyertai Umno.

Tindakannya tidak mampu membantu Umno kerana dia datang sebatang kara dan tiada title YB bagi membolehkan harga dirinya melonjak tinggi.

Fairus meninggalkan kerusi Penanti kepada Dr Mansor Osman. Akhirnya Fairus pergi dengan harga yang tidak mahal. Sekadar selendang silat yang mampu diberi kepada Najib.

Mungkin apa yang menyebabkan Fairus berundur kerana desakan pimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu sudah bertiup kencang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dikatakan sukar ditemui rakyat.

Berita sedemikian seperti sukar dinafikan. Tanyalah sesiapa pun di Pulau Pinang, mereka mengeluh apabila disebut nama Fairus.

Beberapa penduduk di Nibung Tebal mengakui sukar untuk menemui Fairus ketika menduduki jawatan nombor dua di negeri berpulau itu.

“Janji banyak tidak ditepati. Janji hendak datang, akhirnya batang hidung tak nampak,” kata seorang penduduk ketika ditemui di sebuah masjid di Nibung Tebal dua tahun lalu.

Politik yang dianggap seni serba kemungkinan tersebut juga menghempap mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Ketika dia datang ke Kota Bharu akhir tahun lepas, tidak ramai yang kenal.

Jauh berbanding tokoh politik PKR yang lain.

Beliau nampak sunggul biar pun berada di atas pentas pada konvensyen PKR Kelantan ketika itu. Wajahnya tidak nampak ceria.

Mungkin kecamuk jiwanya untuk meninggalkan parti sudah berombak ketika itu. Cuma mungkin Anwar dan pimpinan lain PKR belum dapat meneka.

Dan hari ini dengan wajah kusam dia hadir pada sidang media Zahrain dan Tan ketika mengumumkan keluar daripada PKR.

Bukan sekadar itu beliau pula mendakwa lebih 10 wakil rakyat akan keluar parti.

Ekoran episod tersebut 12 wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menyatakan mereka akan terus kekal bersama parti.

Salehuddin membiarkan dirinya menjadi mangsa cemuhan apabila sanggup tampil pada sidang media dua bekas anggota parlimen PKR terbabit.

Situasi itu mengundangkan pelbagai andaian yang tidak mampu ditolak Salehuddin. Maka ada orang mendakwa dia menjadi segala dalang dalam episod politic is the art of possible.

Telahan berkenaan biar pun mampu dijawab dengan 1001 alasan, namun persepsi untuk menggambarkan siapa sebenar Salehuddin sudah terjawab.

Ketika art of possible sedang menggoncang teratak PKR, PAS nampaknya lebih kukuh kerana bertunjang akar agama.

Pengalaman kerajaan PAS di Kelantan yang dipisahkan dengan satu kerusi, namun mampu bertahan sepenggal tiada tolak bandingnya. Cuba bayangkan PAS - 23 dan BN – 22, PAS hanya seperti telor di hujung tanduk sebelum Mac 2008.

Namun telor PAS tidak retak dan apa lagi bergolek jatuh. Bukan tiada umpan berjuta ringgit seperti berlaku sekarang, sebaliknya berguni wang tunai cuba disogok kepada Adun PAS ketika itu.

Dalam situasi politik baru sekarang, nampaknya politik ikut cuaca seperti disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berlaku kepada parti berteras agama.

Menari ikut cuaca boleh berlaku kepada parti berteras nasionalis dan ideologi. Ideologi dan nasionalisme ciptaan manusia, bukan agama yang diturunkan dari langit.

Inilah sebenarnya yang membezakan di antara PAS, Umno, PKR dan DAP. Jelaslah agama tidak merubah seseorang menjadi seperti cuaca