|
Namun kini, sungai telah dijadikan sebagai tempat pembuangan sampah serta bahan lain yang mencemarkan sungai tersebut hingga menjejaskan kehidupan manusia serta hidupan yang hidup dalam sungai. “Dulu kita boleh lihat ikan temekung dalam sungai sebab air jernih, tapi hari ini dah tak boleh, kita juga boleh berenang dalam sungai dulu, tapi sekarang, tengok air keroh pun dah merunsingkan kita, apatah lagi nak berenang,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Air, YB. Dato’ Haji Ir Phahrolrazi Haji Zawawi. Beliau berkata demikian pada bengkel Peranan Majlis Ketua Kampung/Komuniti Dalam Usaha Merealisasikan Sungai Kedah / Sungai Anak Bukit Sebagai Destinasi Pelancongan Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini. Akibat terjadinya pencemaran yang meruncing sekarang adalah berikutan sikap masyarakat dan dan pemilik industri yang membuang sampah dan sisa kilang ke sungai sewenang-wenangnya tanpa memikirkan betapa pentingnya kebersihan perlu dikekalkan seterusnya ditingkatkan. “Sudah sampai masa kita kena cari titik noktah untuk atasi masalah yang kita hadapi, jangan sampai ke satu tahap kita tak boleh nak selesai masalah mengenai sungai ini,” jelas beliau. Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bermula daripada masyarakat hingga kepada kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga merealisasikan Sungai Kedah / Sungai Anak Bukit sebagai destinasi pelancongan seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang menyeru agar sungai dan terusan sedia ada wajar dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti pelancongan dan riadah. “Bengkel ini bermatlamat nak timbul kesedaran rakyat mengenai isu kebersihan khususnya mengenai isu sungai. “Diharap dengan pandangan dari Ketua Kampung dan Komuniti yang mewakili rakyat setempat untuk cari jalan atasi masalah kebersihan sungai yang kita hadapi seterusnya kita nak warisi sungai yang cantik sebagai satu warisan untuk generasi akan datang,” ujar beliau. |